Jubah Hijau dan Fail Merah

23 September




Tahun 2009 merupakan tahun yang membawa kebanyakan pelajar kelahiran tahun 1992 ke tahun senior persekolahan mereka. Satu tahun yang penuh memori itu biasanya diakhiri dengan satu majlis yang penuh air mata, penuh pelukan, penuh kata-kata semangat, iaitu majlis graduasi. Memori semasa di Majlis Graduasi Tingkatan 5 ini masih segar dalam ingatanku. Majlis tersebut diadakan beberapa minggu sebelum kami menghadapi peperiksaan SPM. Gembiranya tidak terkata.

"Kita dah nak habis sekolah!"

"Kita dah nak masuk universiti!"

"Kita dah dewasa!"

"We are really graduating, people!"

Begitulah antara bait-bait yang keluar daripada mulut rakan-rakan seperjuanganku. Orang dalam gambar di atas merupakan rakan-rakan sekelasku yang turut sama-sama mengambil subjek sains tulen di kelas 5 Cendana. Semasa majlis tersebut, segala tekanan Matematik Tambahan, Kimia, Biologi, mahupun Sejarah dilupakan buat seketika. Fokus hanyalah pada rakan-rakan yang selepas ini akan membawa haluan masing-masing, bergantung kepada pencapaian SPM masing-masing.

Suasana di ballroom Hotel Seri Cempaka itu sangat meriah. Para pelajar yang berjubah hijau sibuk bersalaman, berpelukan, dan bergambar. Kami terasa bahagia. Tiada lagi seragam sekolah putih dan kasut putih selepas ini. Tiada lagi aktiviti kokurikulum selepas sekolah yang memenatkan. Tiada lagi kerja rumah yang bertimbun!

"Zazu! I will miss you. You're my only Malay best friend," kata seorang sahabatku yang berbangsa Cina.

Di SMK Seri Bintang Selatan, persahabatan tidak mengira kaum dan agama. Kami selesa berkawan, tidak wujud isu ras dan rasisme di situ. Oh ya, rakan-rakanku terutamanya yang bukan Melayu gemar memanggilku dengan gelaran 'Zazu', kerana pada mereka, namaku yang sebenar iaitu Izazi begitu hampir dengan nama watak burung dalam Filem Lion King, Zazu.

"Aww, I'll miss you too!" kataku sambil membalas pelukannya.

Lagu Graduation nyanyian kumpulan Vitamin C berkumandang di ballroom tersebut. Menimbulkan rasa sebak.

As our lives change, 
We will still be,
Friends forever.

Lirik yang cukup menyentuh perasaan. 'Friends forever'? Ya, kami sekelas akan tetap berkawan. Majlis graduasi itu merupakan simbolik pengakhiran zaman persekolahan kami, tetapi bukan pengakhiran persahabatan kami. Pada hujung majlis graduasi itu, kami berjanji untuk mengadakan satu majlis pertemuan semula kira-kira 10 tahun lagi.

"Tak sabarnya nak reunion! Tak sabar nak tengok semua orang gemuk," kata salah seorang rakanku.

Namun begitu, manusia hanya mampu merancang. Tidak semua orang sempat gemuk. Beberapa bulan selepas majlis graduasi tersebut, salah seorang rakan kami telah diambil olehNya. Namanya Fazli. Dia merupakan satu-satunya lelaki Melayu di dalam kelas kami. Satu kemalangan telah berlaku antara motosikal yang ditunggang oleh Fazli dengan sebuah lori kira-kira jam 3 pagi. Tidak pasti tentang jenis atau saiz lori tersebut, tetapi yang pasti ia cukup besar untuk membunuh seorang penunggang motosikal. Tidak dapat kubayangkan suasana kemalangan maut itu. Semoga Fazli sentiasa dicucuri rahmatNya.

Kelas 5 Cendana sesi 2009 kini telah kehilangan seorang ahlinya. Pertemuan semula pada 10 tahun akan datang itu tidak akan lengkap. Tiada sesiapa dapat menyangka bahawa foto yang merakamkan kami dalam jubah hijau dan memegang fail merah itu merupakan foto terakhir yang lengkap dengan setiap orang ahli kelas.

Pada hari ini, majlis graduasi penuh memori itu telah empat tahun berlalu, dan pertemuan yang dirancang itu masih berbaki enam tahun lagi. Doaku agar kami semua dipanjangkan umur. Amin.


You Might Also Like

1 comments