Menangisi sesuatu yang telah pergi
Lebih ngilu daripada terhiris jari
Tak semua orang boleh faham
Walau mereka lebih banyak makan garam
Semua orang suruh berhenti menangis
Cakap senang, bukan hati mereka yang terguris.
Oktober hampir melabuhkan tirainya, November pula bakal memulakan acara. Pada waktu-waktu begini kira-kira dua tahun yang lalu, saya sedang giat menyediakan senjata yang secukupnya sebelum bertempur dalam salah satu peperangan besar dalam hidup saya sebagai pelajar Tingkatan Enam, Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia. STPM. Meneruskan pelajaran ke tingkatan enam adalah pilihan pertama saya selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Victoria Institution (VI), sebuah institusi berusia lebih 100 tahun yang terletak di Jalan Hang Tuah, Kuala Lumpur merupakan alma mater saya. Tempat saya berperang dengan kertas-kertas Pengajian Am, Sejarah, Bahasa Melayu, dan Pengajian Perniagaan. Bukan sekadar sekolah, VI merupakan tempat saya yang pada ketika itu berusia 19 tahun dan masih berseragam sekolah menimba pelbagai jenis ilmu. Secara rasmi dan tidak rasmi. Ilmu tentang kehidupan, persahabatan, perhubungan, dan macam-macam lagi.
Kata orang, zaman persekolahanlah yang paling indah. Kata orang, tiada fasa kehidupan lain dapat menandingi fasa mentah ini. Benar kata orang. Selain daripada para guru yang banyak membimbing tanpa mengira penat lelah, bahan-bahan bacaan ilmiah yang ditelaah, dan rakan-rakan yang menjadi teman ketawa dan telagah, terdapat perkara-perkara remeh lain yang membuatkan kenangan di VI mustahil untuk saya lupakan.
Setiap bunyi, setiap bau, setiap rasa, semuanya masih kekal dalam perpustakaan ingatan saya, tersusun rapi. Antara perkara kecil yang saya maksudkan, setiap hari saya akan berjalan keluar dari pagar kecil sekolah itu, dan setiap langkah kaki pasti akan diiringi muzik indah yang dihasilkan oleh pasukan marching band yang sedang berlatih di padang. Indah, cukup indah. Mungkin saya perlukan lebih daripada satu entri untuk bercerita tentang setiap satunya. ;)
Hari-hari saya di VI menutup jendelanya dengan STPM, pertempuran yang saya lalui sepenuh hati, sehingga kini menempatkan saya di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UKM. Akan saya bina pula kenangan baharu di sini, memenuhi rak-rak kosong dalam perpustakaan ingatan saya. Oh, tahu tak, rakan sebilik saya di UKM sekarang merupakan anak kepada guru disiplin saya semasa di VI dulu? Kecilnya dunia! :)
Pastinya bagi seorang penulis, berjaya menyiapkan karya merupakan satu kepuasan. Sebagaimana asyiknya seorang pemuzik menekan jejari piano, begitulah asyiknya seorang penulis menekan papan kekunci. Setiap butir huruf ibarat not-not muzikal yang sempurna menepati 'pitch'. Setiap ayat yang terhasil mendukung makna tersendiri, tak ubah seperti irama yang tercipta dengan penuh perasaan. Indahnya menulis.
Saya masih ternanti-nanti kepuasan yang indah itu.
Hujan sedang renyai saat saya ingin ke kelas petang tadi, jadi saya mengambil keputusan untuk memandu ke fakulti. Sebaik sahaja tiba di fakulti, saya bergegas keluar dari kereta dan cuba berjalan sepantas mungkin kerana tidak mahu kebasahan. Dalam lekanya saya berjalan laju, kaki saya terlanggar konkrit pembahagi jalan yang hampir merosakkan kasut bertutup saya.
Sambil meneruskan perjalanan menuju ke kelas, saya terlihat A, seorang rakan sekelas yang sedang berjalan terencut-encut menuju ke destinasi yang sama. Beberapa minggu lalu, A kemalangan motosikal dan menyebabkan kakinya tercedera. Buat sementara waktu, A terpaksa berselipar ke kuliah kerana kecederaan pada kakinya masih belum sembuh.
Melihatkan keadaan A, segera saya beristighfar, malu dengan diri sendiri. Tidak patut saya merungut tentang hal kasut sebentar tadi. Perjalanan untuk menuntut ilmu itu mungkin sudah hilang berkatnya dek rungutan cetek saya. Kesal, malu. Pesanan bapa kepada saya suatu ketika dulu terus menerjah dalam fikiran.
"Kalau Kak Long sedih sebab tak ada kasut, cuba Kak Long fikirkan orang yang langsung tak ada tempat pun nak sarungkan kasut."
Nasihat Papa yang ringkas itu terasa amat mendalam dan menimbulkan keinsafan. Apalah sangat dugaan kasut tercalar jika dibandingkan dengan perit hilangnya salah satu nikmat pemberianNya? Serta-merta perasaan syukur menyerbu diri saya, seiring dengan doa agar Allah swt tidak menarik nikmat sepasang penggerak tubuh badan manusia ini.
Sambil memuhasabah diri, saya terus menapak ke dewan kuliah. Menyedari A sudah menyaingi saya dan telahpun hampir ke pintu dewan kuliah, saya mempercepatkan langkah. Tiada lagi perasaan kesal kerana memakai kasut yang nirpurna. Setiap langkah itu saya ambil dengan penuh bahagia, mensyukuri sepasang kaki sempurna yang dipinjamkan olehNya.
Pagi saya dikejutkan dengan berita kemalangan jalan raya seorang sahabat rapat yang kini tidak sedarkan diri di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Universiti Malaya. Wafiy Rashid, seorang sahabat yang telah saya kenal sejak zaman persekolahan lagi. Lebih mesra dipanggil Waf. Saat menerima berita kemalangannya, saya terus ke laman sosial Twitter milik Waf untuk melihat kalau-kalau ada berita terkini tentangnya yang dikongsi oleh keluarga mahupun rakan-rakannya. Sedang saya melihat-lihat akaun Twitternya, saya terbaca satu coretan (lebih dikenali sebagai 'tweet' dalam dunia Twitter) yang ditulis oleh Waf beberapa hari sebelum kemalangan itu berlaku.
"For the time being, let's just hold on to what we have. Not long till the day comes when you'll be taken away from all your problems."
Sabar dulu Waf, belum masanya lagi kau nak lari daripada masalah kau. Lepas ni kau akan bangun balik dan pandai-pandailah kau hadapi semua masalah tu, tau? Insyaallah. Aku doakan kau bangun balik. Aku tahu kau memang suka tidur, tapi sudah-sudahlah tu, dah lama sangat tu. Bangun tau, Waf.
Hajat. Cita-cita. Angan-angan. Impian. Semua orang ada. Kalau tak besar pun, setidak-tidaknya pasti ada hajat untuk meneruskan kehidupan, cita-cita untuk menjadi insan yang lebih baik, angan-angan untuk hidup mewah, atau impian untuk berumah tangga mungkin? Tapi, impian sahaja mana cukup kan?
Semuanya memerlukan usaha, ilmu, doa, dan tawakal. Barulah mimpi dapat diubah menjadi realiti. Realiti, dan bukan hanya mimpi.
“Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredhaan); dan sesungguhnya pertolongan dan bantuan Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya. “ Al-Ankabut : 69.
Hari ini merupakan satu cabaran besar buat mahasiswa dan mahasiswi UKM. Ketiadaan bekalan elektrik selama lebih daripada12 jam di beberapa buah kolej utama membuatkan para penuntut hilang arah, termasuk saya. Selama ketiadaan elektrik, mungkin keadaan sekeliling yang panas tanpa kipas yang menjadi isu bagi kebanyakan orang. Tetapi tidak bagi mahasiswa era baharu. Perkara yang paling menjadi isu buat kami adalah apabila gajet-gajet elektronik tidak dapat dicaj! Kekeringan bateri dalam alat-alat elektronik, umpama kehilangan separuh nyawa. Telefon bimbit, komputer riba, pemain muzik MP3, wi-fi, semuanya. Semuanya memerlukan tenaga elektrik.
"Sia-sia sahajalah petang aku ni, nampaknya," bicara hati saya.
Saat gajet-gajet moden tidak boleh berfungsi, saya mencari aktiviti untuk mengisi masa lapang. Novel Something From Tiffany's yang sudah lama penanda bukunya tidak beralih muka surat mula saya buka. Namun begitu, mood membaca hanya bertahan untuk beberapa muka surat. Bosan, saya mencari pula sesuatu untuk dikunyah. Juga membosankan. Saya mula membuka tikar senaman berwarna merah jambu yang disimpan di hujung katil. Berhabuk. Selepas sedikit sit-ups dan bicycle kicks, bosan datang menjengah. Tikar senaman saya gulung semula.Bagai cacing kepanasan, saya keluar dari bilik lalu mengetuk pintu bilik rakan sebelah. Kami berkongsi sedikit makanan sambil berbual-bual kosong. Ya, secara teknikalnya kami memang berbual-bual 'kosong'. Akan tetapi jauh di sudut hati saya mula mempersoalkan tabiat diri sendiri. Jika tidak kerana putusnya bekalan elektrik, mungkin dalam masa sepuluh tahun lagi pun, jiran di sebelah bilik itu hanya akan saya ingati dengan imej kusut dan tuala di bahu (kerana waktu paling kerap kami bertegur hanyalah ketika menunggu giliran untuk mandi pagi). Begitu teknologi telah merampas silaturrahim kami. Dalam rancaknya kami berbual-bual kosong itu, tiba-tiba saya terkenangkan novel-novel popular yang menjadi bacaan ketika saya masih bersekolah rendah. Novel-novel tersebut banyak menggunakan latar universiti atau kampus tahun 1990-an bagi menghidupkan watak-wataknya. Aktiviti saya pada petang tadi tidak ubah seperti watak-watak dalam zaman 90a-n itu. Tiada gajet canggih untuk mencuri masa bersenam mereka, tiada filem cetak rompak yang dimuat turun bagi mencuri masa membaca mereka. Aktiviti sosial juga dilakukan secara fizikal dan bukannya maya. Buat beberapa jam, saya terasa lebih 'hidup'. Tidak seperti hari-hari lain yang kaya dengan bekalan elektrik, petang saya pada hari ini tidak diisi dengan lagak seperti zombi berteleku di hadapan komputer riba. Jauh di sudut hati saya mula timbul satu persoalan misteri, adakah apa yang saya lakukan petang tadi hampir sama dengan apa yang dilalui oleh penghuni kampus sekitar 15 tahun yang lalu? Jika benar, maka layaklah saya mencemburui mahasiswa generasi 90-an. Kewujudan gajet-gajet canggih tidaklah dipersalahkan, cuma timbul sedikit kesedaran peribadi dalam diri ini. Kesedaran yang positif. Jadi, mungkinkah ketiadaan elektrik ini tidaklah begitu sia-sia? ;)
My friends call me Jaji. Malaysian. Currently in South Korea. I blog for fun, just to share about all the good things in life. I am currently (trying to be) active in sharing about my PhD journey and scribbling about my daily life in Korea.