Kaki

22 October



Hujan sedang renyai saat saya ingin ke kelas petang tadi, jadi saya mengambil keputusan untuk memandu ke fakulti. Sebaik sahaja tiba di fakulti, saya bergegas keluar dari kereta dan cuba berjalan sepantas mungkin kerana tidak mahu kebasahan. Dalam lekanya saya berjalan laju, kaki saya terlanggar konkrit pembahagi jalan yang hampir merosakkan kasut bertutup saya. 

"Aduh, habis calar kasut aku. Nampaknya kena beli barulah lepas ni," rungut hati saya.

Sambil meneruskan perjalanan menuju ke kelas, saya terlihat A, seorang rakan sekelas yang sedang berjalan terencut-encut menuju ke destinasi yang sama. Beberapa  minggu lalu, A kemalangan motosikal dan menyebabkan kakinya tercedera. Buat sementara waktu, A terpaksa berselipar ke kuliah kerana kecederaan pada kakinya masih belum sembuh.

Melihatkan keadaan A, segera saya beristighfar, malu dengan diri sendiri. Tidak patut saya merungut tentang hal kasut sebentar tadi. Perjalanan untuk menuntut ilmu itu mungkin sudah hilang berkatnya dek rungutan cetek saya. Kesal, malu. Pesanan bapa kepada saya suatu ketika dulu terus menerjah dalam fikiran.

"Kalau Kak Long sedih sebab tak ada kasut, cuba Kak Long fikirkan orang yang langsung tak ada tempat pun nak sarungkan kasut."

Nasihat Papa yang ringkas itu terasa amat mendalam dan menimbulkan keinsafan. Apalah sangat dugaan kasut tercalar jika dibandingkan dengan perit hilangnya salah satu nikmat pemberianNya? Serta-merta perasaan syukur menyerbu diri saya, seiring dengan doa agar Allah swt tidak menarik nikmat sepasang penggerak tubuh badan manusia ini.

Sambil memuhasabah diri, saya terus menapak ke dewan kuliah. Menyedari A sudah menyaingi saya dan telahpun hampir ke pintu dewan kuliah, saya mempercepatkan langkah. Tiada lagi perasaan kesal kerana memakai kasut yang nirpurna. Setiap langkah itu saya ambil dengan penuh bahagia, mensyukuri sepasang kaki sempurna yang dipinjamkan olehNya.

You Might Also Like

0 comments