Sembilanpuluhan.

09 October



Hari ini merupakan satu cabaran besar buat mahasiswa dan mahasiswi UKM. Ketiadaan bekalan elektrik selama lebih daripada12 jam di beberapa buah kolej utama membuatkan para penuntut hilang arah, termasuk saya. Selama ketiadaan elektrik, mungkin keadaan sekeliling yang panas tanpa kipas yang menjadi isu bagi kebanyakan orang. Tetapi tidak bagi mahasiswa era baharu. Perkara yang paling menjadi isu buat kami adalah apabila gajet-gajet elektronik tidak dapat dicaj! Kekeringan bateri dalam alat-alat elektronik, umpama kehilangan separuh nyawa. Telefon bimbit, komputer riba, pemain muzik MP3, wi-fi, semuanya. Semuanya memerlukan tenaga elektrik.

"Sia-sia sahajalah petang aku ni, nampaknya," bicara hati saya.

Saat gajet-gajet moden tidak boleh berfungsi, saya mencari aktiviti untuk mengisi masa lapang. Novel Something From Tiffany's yang sudah lama penanda bukunya tidak beralih muka surat mula saya buka. Namun begitu, mood membaca hanya bertahan untuk beberapa muka surat. Bosan, saya mencari pula sesuatu untuk dikunyah. Juga membosankan. Saya mula membuka tikar senaman berwarna merah jambu yang disimpan di hujung katil. Berhabuk. Selepas sedikit sit-ups dan bicycle kicks, bosan datang menjengah. Tikar senaman saya gulung semula. Bagai cacing kepanasan, saya keluar dari bilik lalu mengetuk pintu bilik rakan sebelah. Kami berkongsi sedikit makanan sambil berbual-bual kosong. Ya, secara teknikalnya kami memang berbual-bual 'kosong'. Akan tetapi jauh di sudut hati saya mula mempersoalkan tabiat diri sendiri. Jika tidak kerana putusnya bekalan elektrik, mungkin dalam masa sepuluh tahun lagi pun, jiran di sebelah bilik itu hanya akan saya ingati dengan imej kusut dan tuala di bahu (kerana waktu paling kerap kami bertegur hanyalah ketika menunggu giliran untuk mandi pagi). Begitu teknologi telah merampas silaturrahim kami. Dalam rancaknya kami berbual-bual kosong itu, tiba-tiba saya terkenangkan novel-novel popular yang menjadi bacaan ketika saya masih bersekolah rendah. Novel-novel tersebut banyak menggunakan latar universiti atau kampus tahun 1990-an bagi menghidupkan watak-wataknya. Aktiviti saya pada petang tadi tidak ubah seperti watak-watak dalam zaman 90a-n itu. Tiada gajet canggih untuk mencuri masa bersenam mereka, tiada filem cetak rompak yang dimuat turun bagi mencuri masa membaca mereka. Aktiviti sosial juga dilakukan secara fizikal dan bukannya maya. Buat beberapa jam, saya terasa lebih 'hidup'. Tidak seperti hari-hari lain yang kaya dengan bekalan elektrik, petang saya pada hari ini tidak diisi dengan lagak seperti zombi berteleku di hadapan komputer riba. Jauh di sudut hati saya mula timbul satu persoalan misteri, adakah apa yang saya lakukan petang tadi hampir sama dengan apa yang dilalui oleh penghuni kampus sekitar 15 tahun yang lalu? Jika benar, maka layaklah saya mencemburui mahasiswa generasi 90-an.  Kewujudan gajet-gajet canggih tidaklah dipersalahkan, cuma timbul sedikit kesedaran peribadi dalam diri ini. Kesedaran yang positif. Jadi, mungkinkah ketiadaan elektrik ini tidaklah begitu sia-sia? ;)

You Might Also Like

0 comments