STPM

28 October



Oktober hampir melabuhkan tirainya, November pula bakal memulakan acara. Pada waktu-waktu begini kira-kira dua tahun yang lalu, saya sedang giat menyediakan senjata yang secukupnya sebelum bertempur dalam salah satu peperangan besar dalam hidup saya sebagai pelajar Tingkatan Enam, Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia. STPM. Meneruskan pelajaran ke tingkatan enam adalah pilihan pertama saya selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Victoria Institution (VI), sebuah institusi berusia lebih 100 tahun yang terletak di Jalan Hang Tuah, Kuala Lumpur merupakan alma mater saya. Tempat saya berperang dengan kertas-kertas Pengajian Am, Sejarah, Bahasa Melayu, dan Pengajian Perniagaan. Bukan sekadar sekolah, VI merupakan tempat saya yang pada ketika itu berusia 19 tahun dan masih berseragam sekolah menimba pelbagai jenis ilmu.  Secara rasmi dan tidak rasmi. Ilmu tentang kehidupan, persahabatan, perhubungan, dan macam-macam lagi.

Kata orang, zaman persekolahanlah yang paling indah. Kata orang, tiada fasa kehidupan lain dapat menandingi fasa mentah ini. Benar kata orang. Selain daripada para guru yang banyak membimbing tanpa mengira penat lelah, bahan-bahan bacaan ilmiah yang ditelaah, dan rakan-rakan yang menjadi teman ketawa dan telagah, terdapat perkara-perkara remeh lain yang membuatkan kenangan di VI mustahil untuk saya lupakan.

Setiap bunyi, setiap bau, setiap rasa, semuanya masih kekal dalam perpustakaan ingatan saya, tersusun rapi. Antara perkara kecil yang saya maksudkan, setiap hari saya akan berjalan keluar dari pagar kecil sekolah itu, dan setiap langkah kaki pasti akan diiringi muzik indah yang dihasilkan oleh pasukan marching band yang sedang berlatih di padang. Indah, cukup indah. Mungkin saya perlukan lebih daripada satu entri untuk bercerita tentang setiap satunya. ;)

Hari-hari saya di VI menutup jendelanya dengan STPM, pertempuran yang saya lalui sepenuh hati, sehingga kini menempatkan saya di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UKM. Akan saya bina pula kenangan baharu di sini, memenuhi rak-rak kosong dalam perpustakaan ingatan saya. Oh, tahu tak, rakan sebilik saya di UKM sekarang merupakan anak kepada guru disiplin saya semasa di VI dulu? Kecilnya dunia! :)


You Might Also Like

0 comments