Hujan Rindu

23 November



Kalau dah namanya pelajar, tinggal pula berasingan dari keluarga, wajiblah wujud perasaan rindu, menghujani hati yang pilu. Walaupun Bangi dan Cheras hanya 30 minit perjalanan, perasaan rindu untuk bermanja dengan keluarga pasti akan menjengah sekali-sekala. Jika saya yang berada sejengkal jauhnya inipun sudah dilanda sebak, apatah lagi rakan-rakan yang terpisah oleh lautan. Tapi inilah namanya cabaran seorang pelajar, bukan?

Semasa berada dalam tahun pertama pengajian, saya kerap pulang ke rumah. Berapa kerap? Seminggu sekali, pada setiap hujung minggu. Mengundang cemburu dalam kalangan rakan-rakan yang hanya mampu pulang sebulan sekali, atau lebih derita lagi, sekali sahaja dalam setiap semester. Kereta Kelisa berwarna merah jambu yang dihadiahkan oleh mama dan papa akan saya pandu pada setiap hujung minggu, kebiasaannya pada pagi Sabtu. Baru sahaja sampai rumah, tiba-tiba saja Ahad malam pun menjelma. Ok, ini mungkin kedengaran begitu hiperbola, tapi itulah kenyataan yang saya rasakan. 36 jam yang cukup singkat.

Sejak memasuki tahun kedua pengajian, saya semakin jarang pulang ke rumah. Banyak tanggungjawab yang perlu saya selesaikan di kampus, memandangkan saya telah diberi amanah untuk menjadi ahli Majlis Eksekutif Pelajar di kolej. Pada hari ini, telah masuk dua minggu saya tidak menjejakkan kaki di rumah. "Eleh, baru dua minggu. Aku ni dah dua bulan, kau tahu?" Haih, dua minggu untuk saya itu seakan-akan sama deritanya dengan dua bulan rakan-rakan yang lain.

Sememangnya saya bersyukur kerana rezeki saya dapat menyambung pengajian di lokasi yang tidak begitu jauh dari keluarga. Tapi, anak mana yang tak rindukan ibu bapanya? Perantau mana yang tak rindukan rumah? Walau apapun, bukankah semua ini lautan yang perlu direnangi sebelum kita tiba ke destinasinya? Berada di universiti dengan niat lillahitaala, Insyaallah segalanya akan dipermudahkan. :')

Kak Long rindu mama, papa, dan Irfan. Nero, Koko, Aswad, Oren, dan Putih pun Kak Long rindu juga. 

You Might Also Like

1 comments

  1. Amboi jaji, cuba duduk sini dengan aku, mesti meraung setiap hari nak balik!

    ReplyDelete