Masa yang Berlari

13 December







Dah masuk pertengahan Disember, bahang peperiksaan akhir buat pelajar universiti kian terasa. Bagi saya, kali ini merupakan peperiksaan bagi semester pertama, tahun kedua. Terasa seperti baru minggu lepas saya mendaftarkan diri sebagai pelajar Tahun 1 di UKM! Betapa masa tidak menunggu sesiapa.

Kenangan semasa mendaftarkan diri di Kolej Ungku Omar, UKM pada September 2012 masih bernyala dalam kotak memori saya. Kehadiran saya dan keluarga yang memakai pakaian serba biru disambut mesra oleh warga KUO. Pendaftaran berjalan dengan lancar, dan saya diberikan bilik di paras bawah sekali kerana pihak pengurusan turut mengambil kira faktor asthma yang tercatat dalam borang laporan kesihatan saya.

Orientasi atau lebih dikenali sebagai Minggu Mesra Pelajar di UKM telah memperkenalkan saya kepada KUO dan UKM dengan lebih rapat. Minggu-minggu seterusnya pula telah membuatkan saya jatuh cinta pada jurusan pertama yang saya pilih semasa mengisi borang UPU, iaitu Linguistik. Jumlah keseluruhan tempoh pengajian saya di sini adalah tiga tahun bersamaan dengan enam semester.

Dan kini saya telahpun berada di penghujung semester ketiga! Hanya tiga lagi untuk ditempuhi. Adalah menjadi impian semua mahsiswa dan mahasiswi untuk lulus pengajian dengan cemerlang, termasuk saya. Insyaallah.

You Might Also Like

0 comments