The Kapit's Cafe, Penang

27 July


Ulasan tentang kedai makan kali ni agak lain daripada yang lain, sebab The Kapit's ni terletak di Desasiswa Cahaya Gemilang, iaitu di dalam kampus Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Lebih istimewa lagi, tuan punya kafe ni ialah sahabat saya sejak zaman sekolah lagi, iaitu Encik Shafiq Kamaruddin atau lebih mesra saya panggil Abang Cha (haha jangan marah aaa Abang Cha :p). Abang Cha ni senior saya sejak di SMK Seri Bintang Selatan, kemudian di Victoria Institution, dan kini di USM.

Tuan kedai, Encik Shafiq
Berbalik kepada cerita tentang The Kapit's. Masuk-masuk je ke dalam kafe ni, terus saya kategorikan kafe ni sebagai 'kafe hipster'. Saya sendiri tak pasti sejauh mana definisi 'kafe hipster' tu, tapi setahu saya (berdasarkan sedikit pembacaan dan persepsi umum) kafe hipster ialah sejenis kafe yang menjual kopi, makanan ala barat, dan hidangan pencuci mulut. Oh ya, kafe hipster juga perlulah mempunyai hiasan dalaman yang menarik (kot?). Kafe jenis ni memang semakin mendapat tempat di Malaysia.



Cantik kan? Haaa tapi, The Kapit's ni berbeza dengan kafe hipster yang tipikal, sebabbb kafe ni kan terletak dalam kampus, maka harganya pun jauh lebih rendah berbanding kafe hipster di luar. Yelah sebab sasaran pelanggannya pun terdiri daripada pelajar universiti kan. Tuan kedai dan pekerjanya pun semua terdiri daripada pelajar USM sendiri. Sungguhpun begitu, kualiti dan kesedapan makanan kat sini memang tak kalah dengan kafe-kafe di luar. Tak keterlaluan juga rasanya jika saya katakan makanan di The Kapit's mungkin lebih sedap berbanding kafe hipster yang mahal, sebab setakat ni semua makanan yang pernah saya rasa di sini sangat menepati cita rasa saya.



Antara menu istimewa yang ada kat sini ialah variasi burger dan hot dog, misalnya Mediterranian Burger, Alaska Burger, Captain' Crab, Rockin' Beef, dan Everyday Cheeseday. Selain tu ada juga hidangan ala Italian yang dah digubah mengikut cita rasa Malaysia, macam Spaghetti Rendang, Beef Chicken Lasagne, dan Baked Spaghetti. Harga makanan di sini bermula serendah RM3.70 sehingga RM8.50 sahaja.






Untuk minuman pula, The Kapit's ada membotolkan kopi mereka sendiri iaitu Kopi Tok Balak. Kafe ni juga mengetengahkan produk minuman tempatan seperti Segara (dadih), Dapoq (lemonade), dan Haus Boom (sparkling juice). Selain tu, mereka turut menghidangkan variasi kopi seperti Espresso, Cafe Latte, Cappucino, dan Americano. Untuk penggemar coklat, anda wajib cuba Hot Chocolate atau Iced Chocolate kat sini. Harga minuman pula bermula dari RM1.90 sehingga RM8.50. Untuk pencuci mulut pula, mereka ada pelbagai jenis kek, brownies, chocolate fudge, dan macam-macam lagi yang boleh buat anda akan rasa rugi kalau tak makan hehee. Oh btw, dont judge a food by its appearance! Haha sebab slogan The Kapit's ni ialah "we serve ugly food that taste good" wahh gitu.




Haaa dah tergoda ke tuuu? Hehe apa lagi, cepat buat pesanan anda sekarang! The Kapit's ada menyediakan perkhidmatan penghantaran ke dalam kampus USM dan juga sekitar kawasan Pulau Pinang. Telefon je 013-4999 507 sekaranggg. Kepada yang duduk jauh tu, mungkin ada kena datang ke sini untuk merasai sendiri kelainan kafe ni. Waktu operasi kafe ni pada setiap Isnin-Jumaat adalah dari pukul 10.00 pagi hingga 10.00 malam, manakala pada Sabtu dan Ahad pula adalah dari pukul 4.00 hingga 10.00 malam. Kalau nak cuci mata tengok makanan sedap sedap lagi, bolehlah lawat Instagram mereka iaitu @the_kapits. 




Thanks for the coffee Abang Cha! *setelah berjaya hint Abang Cha nak satu kopi percuma hahaha* Semoga Abang Cha dan perniagaan kafe ni terus berjaya!

Terima kasih kerana membaca
Love, Jaji.

You Might Also Like

0 comments