Susah tak nak dapat makanan halal di Korea? (pengalaman saya di Yongin-si, Gyeonggi-do)

by - June 29, 2021




Hi assalamualaikum beautiful souls!

Antara soalan yang orang selalu tanya: "susah tak nak dapat makanan halal di Korea?"

Ok, dalam post ni saya akan cuba jawab soalan ni dengan lebih terperinci dan saya akan kongsikan juga sedikit pengalaman yang mungkin berguna untuk sesiapa yang akan datang ke Korea nanti.. terutamanya mereka yang perlu berada di sini untuk tempoh yang lama, sama ada datang belajar atau bekerja ๐Ÿ˜ƒ

Sebelum tu, saya nak cerita tentang tempat saya berada dulu. Saya tinggal di asrama pensyarah yang terletak di dalam kawasan kampus saya, iaitu Hankuk University of Foreign Studies (HUFS). Ada dua cawangan HUFS, satu di Seoul (kampus utama) dan satu lagi di Yongin-si, Gyeonggi-do (Global Campus, saya di sini). Global Campus ni terletak kira-kira dua jam dari Seoul (dengan bas). Di kawasan ni agak susah untuk makan di restoran, kerana hampir semua restoran tak diyakini halal (kecuali ada satu restoran yang hanya jual ikan, tak ada daging. Ketua jabatan saya pernah bawa kami makan di sini). Tapi di kawasan HUFS Global Campus ni ada banyak kafe (coffee shop), dan saya suka pergi ke kafe-kafe di sini untuk buat kerja (forever need coffee to survive ๐Ÿ˜‚). Kalau di kafe lebih yakin, sebab mereka tak ada jual daging atau alkohol. Biasanya hanya kopi, teh, dan jus. 


Biasanya saya akan beli barang untuk masak di pasar raya berdekatan dengan kampus. Ada dua pasar raya yang saya selalu pergi di sini, satu Nonghyup Hanaro Mart, dan satu lagi Mohyeon Mart. Barang-barang di sini biasanya cukup untuk saya, sebab ada hampir semua bahan yang saya perlukan untuk masak-masak pada hari-hari biasa. Cuma kalau nak bahan macam bawang merah ke, serai ke, lengkuas ke, yang tu kena pergi ke Asean Mart (jap lagi saya cerita tentang Asean Mart pula). Di pasar raya ni biasanya saya beli ikan, udang, dan sayur-sayuran macam brokoli, tomato, carrot. Bahan lain macam bawang putih dan halia pun senang nak dapat. Tapi kunyit tak ada tau haha. Masa awal-awal dulu saya pernah terlebih beli halia sebab warna kulit halia di sini agak merah, jadi saya berharap yang tu kunyit walaupun rupa dia lain sikit ๐Ÿ˜‚ Rupanya memang halia juga. Untuk semak status halal sesuatu produk tu, saya akan guna aplikasi Mufko, terutamanya untuk produk macam biskut atau sos.



Untuk bahan-bahan masakan Melayu macam kunyit, limau nipis, dan serai, saya biasa dapatkan dari Asean Mart di Gwangju (ni Gwangju kecil di Gyeonggi, bukan Gwangju besar tu). Saya pun tak tahu kenapa saya dah terbiasa panggil Asean Mart, sedangkan nama kedai ni sebenarnya World Food ๐Ÿ˜‚Dah 4 bulan di sini, saya baru pergi ke kedai ni dua kali je. Kunyit dan lengkuas yang saya beli hari tu masih ada saya simpan, potong kecil kecil dan bekukan dalam peti ais. Sebab duduk seorang, masak pun guna bahan sikit sikit je. Kecuali masa raya hari tu, saya masak banyak sebab makan ramai-ramai, tapi masih banyak yang lebih. Lepas tu tiga hari saya makan lauk raya ๐Ÿ˜†Walaupun di World Food ni ada juga jual ayam halal, saya tak beli kat sini sebab berat nak bawa balik naik bas.

World Food di Gwangju

Untuk ayam dan daging, saya biasanya beli di website YesHalal (yeshalal.co.kr). Mereka ada penghantaran terus sampai ke rumah. Setakat ni pun saya baru dua kali je pesan daripada YesHalal, sebab setiap kali beli tu saya akan pesan dalam 2-3 ekor ayam dan 1kg daging.. disebabkan saya duduk seorang, 2-3 ekor ayam tu sebulan dua baru habis makan ๐Ÿ˜…Kat website ni juga ada jual cili api, santan, dan barang-barang lain macam sos dan susu pekat (kebanyakannya jenama dari Indonesia). 




Kalau sekali sekala nak makan di luar, saya dan Ibu Munira (pensyarah dari Indonesia di sini) atau dengan kenalan lain akan ke restoran halal di Seoul.. setakat ni saya baru cuba tiga restoran je: Saffron (makanan Arab), Bakso Bejo dan Bakso Rindu Kampung (makanan Indonesia). Dulu ada restoran dan kedai runcit Kampungku, kalau tak salah saya ni milik orang Malaysia, tapi sekarang dah tak beroperasi. Lepas ni saya nak cuba restoran lain pula, ada banyak lagi restoran halal terutamanya di sekitar Itaewon. 

Ayam penyet

Kalau pergi jalan-jalan, biasanya saya akan bawa bekal. Lebih mudah berbanding cari makan di luar, sebab kadang-kadang waktu jalan-jalan tu kita tak berada di tempat yang mudah nak cari makanan halal. Cuma berat sikit la nak bawa. Kalau tak bawa bekal, kita masih boleh cari makanan di kedai-kedai runcit (convenience store) macam CU, GS25, Ministop, atau E-mart. Kat sini biasanya kita boleh beli susu, buah, ais krim, coklat, biskut, telur rebus pun ada.

Bekal masa pergi berkelah di Seoul Forest
Secara keseluruhannya, susah tak nak dapat makanan halal di Korea? Pada saya agak susah ๐Ÿ˜…Untuk kita yang dah terbiasa dengan ketersediaan makanan halal di Malaysia, memang terasa bezanya.. tapi mungkin ada negara lain yang lebih susah? Inilah orang kata, hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik negeri sendiri.. Korea has been great so far, and now that my first semester here is over, I cannot wait to explore more.

Saya sepatutnya balik ke Malaysia minggu ni, tapi Malaysia Airlines dah batalkan penerbangan, dan situasi Covid di Malaysia juga agak teruk sekarang, jadi berkemungkinan Korea akan sekat kemasukan warga dari negara yang berisiko tinggi, termasuk Malaysia. Kalau saya balik juga, mungkin saya tak boleh masuk Korea semula dah nanti, dan saya masih perlu bekerja di sini lagi semester depan. So I guess its best that I stay.. and make the most of my time here inshaallah ๐Ÿ˜„

Until my next post! 

Salam sayang, Jaji


You May Also Like

0 comments